Tuesday, January 12, 2010

Kerana Aku Manusia


Ya Allah,
Kenapa aku merasa begitu perit?
Kenapa aku merasa begitu sedih?
Kenapa hati ini sering terjerit-jerit?
Kenapa kurasakan hidup ini menjerut-jerut?
Sedangkan hanya gumpalan kecil yang mencengkam di dada,
Merosakkan kebahagian yang aku kecapi berhari-hari,
Menghancurkan kerajaan sanubariku,
Kenapa aku tak mampu menghilangkan rasa tusukan ini?
Adakah aku perlu bertanya kepada jauhari?

Hatiku berbisik dan ibuku berkata,
Sabar itu separuh daripada iman,
Tubuhku lemah,
Mataku menerawang,
Memandang segenap alam,
Itulah yang aku lakukan,
Bisikan si ibu tidak dituruti,
Kerana kerajaan di dalam tubuhku hancur,
Hancur ditelan kenistaan alam,
Hancur dalam arus kenafsuan,

Dimana harus ku melangkah?
Dengan dosa-dosa yang sarat di dada,
Ah!mengapa aku menggeletar?
Kenapa tubuhku menjadi keping-keping?
Kenapa telingaku sakit bila mendengar seruanmu?
Kenapa kakiku lemah untuk memijak tempat kegemaranku?

Inikah balasan pada hamba yang jahil,
Yang bodoh dan hanyut pada kecintaan dunia,
Ah!aku terlalu kotor,
Jasadku berlumuran dengan dosa,
Apa yang harus aku lakukan?
Aku merasa jijik dengan diriku sendiri.

Ya Jauhari,
Pimpinlah aku ke jalan kebenaran,
Biar air sembayang menghiasi dan mewarnai setiap perjalananku,
Biar dosaku terhapus dan imanku terbina,
Agar aku menjadi manusia,
Manusia kerdil yang mensyukuri kejadian alam,
Yang tidak lupa pada asal-usul,
Yang merasa hina dengan kejadian.

Ibu,
Maafkan zuriatmu,
Yang pernah memijak kepalamu,
Yang tidak memikirkan keperitan kuburmu,
Walau jasadmu sudah lama terkubur,
Namun,kasihmu tetap kusyukuri.

Ya allah,
Bakarlah tubuhku dengan api nerakamu,
Biar menjadi abu,
Asalkan aku bersih daripada benda jijik ini,
Ya Allah,
Aku berserah kepadamu,
Agar memberi aku setitik hidayah,
Dalam nasuha hidupku.



No comments:

Post a Comment